Blitzkrieg
- July 11th, 2010
- Write comment
Kekalahan German, pasukan yang dianggap terkuat kepada Sepanyol dalam perlawanan separuh akhir Piala Dunia 2010, masih menjadi bahan analisis. Kemampuan pasukan itu membelasah England 4-1 dan diikuti Argentina 4-0 dikaitkan dengan kehebatan strategi Blitzkrieg. Strategi tersebut sebenarnya berasal dari percaturan German dalam Perang Dunia Kedua yang berkonsep serangan sepantas kilat. Taktik serangan itu dirangka ideanya oleh seorang pegawai tentera German bernama Hans Guderian. Ia berkonsepkan kepantasan, kecekapan koordinasi dan pergerakan yang teratur sehingga mencetuskan kejutan kepada musuh. Saya memang minat membaca buku-buku berkaitan strategi lampau dan ternyata Blitzkrieg pernah memberi impak besar kepada kejayaan German termasuk menawan Poland.
Tetapi dalam perlawanan dengan Sepanyol, German tidak bermain seperti menentang England dan Argentina. Blitzkrieg tidak menjadi. Pasukan Sepanyol yang merupakan juara Eropah dan terkenal hebat di bahagian tengah sudah dapat membaca strategi German. Akhirnya German tumbang sementara Sepanyol ke final bertemu Belanda. Siapa yang akan muncul juara? Saya tidak pandai meramal sebagaimana kebolehan sotong psikik bernama Paul. Walaupun saya menyokong Sepanyol kerana gaya permainan yang menghiburkan tetapi kemungkinan Belanda melakukan kejutan tetap ada. Apakah Sepanyol akan mengulangi kesilapan German yang terikat dengan corak permainan yang sama dan mudah dibaca? Apa pun, lega kerana Piala Dunia sudah sampai ke penghujungnya. Kita sudah terlalu banyak memberi tumpuan kepada temasya itu - mengorbankan masa, waktu tidur dan tenaga. Ia turut menjejaskan produktiviti. Lainlah kalau pasukan Malaysia turut beraksi dalam Piala Dunia. Kita sudah terlalu banyak menyorak untuk pasukan lain. Bila pula Malaysia akan layak ke Piala Dunia? Bercakap tentang topik itu pasti diwarnai dengan sinikal dan skeptikal.
Agaknya sotong Paul pun tidak sanggup hendak ramal peluang pasukan kita…























































































